Antara ILMU dengan HARTA... yang mana satu?

Sewaktu pemerintahan Sayyidina Ali, golongan Al-Khawarij telah cuba menjatuhkan Sayyidina Ali dari segi keilmuan. Maka kerana itu ada sepuluh orang pemimpin Khawarij telah bertemu dengan Sayyidina Ali. Sepuluh orang menanyakan satu soalan, mana lebih utama, ilmu atau harta? Kalau betul Sayyidina Ali orang yang bijak, mereka mengharapkan sepuluh jawapan yang berbeza.

Sayyidina Ali sememangnya seorang ahli ilmuan sehingga Rasulullah s.a.w. sendiri mengatakan bahawa “Rasul itu gedung ilmu dan Ali kuncinya”. Sayyidina Ali dengan spontan menjawab kepada sepuluh soalan yang sama dengan sepuluh jawapan yang berbeza.

Mari kita renungkan bersama jawapan yang diberikan oleh Sayyidina Ali :-

Pertama; ilmu lebih utama daripada harta sebab ilmu itu merupakan waris pusaka para Anbia’ dan Rasul sedangkan harta adalah pusaka dari Qarun, Firaun dan lain-lain.

Tidak diturunkan satu syariat melainkan diturunkan dengan ilmu. Tiada syariat yang diturunkan Allah s.w.t. ke atas muka bumi ini suatu yang disuruh percaya melainkan ianya dapat dihuraikan oleh akal. Penghuraian akal itu ialah ilmu. Islam sendiri tidak menerima satu ibadat pun, satu amalan pun yang dilakukan oleh hamba melainkan dengan ilmu. Sembahyang tidak diterima melainkan ia mempunyai ilmu mengenai sembahyang.

Kedua; ilmu lebih utama daripada harta kerana ilmu dapat menjaga dan memelihara pemiliknya sedangkan harta perlu dipelihara oleh pemiliknya.

Ketiga; ilmu lebih utama daripada harta kerana ilmu membentuk banyak sahabat dan kawan sedang harta memperbanyak musuh dan lawan.

Keempat; ilmu lebih utama daripada harta kerana ilmu apabila dikeluarkan, semakin bertambah sedangkan harta apabila dikeluarkan semakin berkurangan.

Kelima; ilmu lebih utama daripada harta kerana orang-orang yang berilmu selalu mendapat panggilan kehormatan dan kemuliaan dalam masyarakat seperti guru, doktor, jurutera dan lain-lain.

Keenam; ilmu lebih utama daripada harta kerana ilmu tidak boleh dicuri sedangkan harta dapat dicuri.

Ketujuh; ilmu lebih utama daripada harta kerana orang-orang yang berilmu pada hari kiamat akan mendapat syafaat dari ilmu yang dikembangkannya sedangkan orang-orang yang berharta akan dihisab dan diminta perhitungan dan pertanggungjawaban terhadap pemakaian harta tersebut, adakah dia membayar zakat harta tersebut.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Bila mati seseorang ada tiga perkara sahaja yang boleh menolongnya, pertama anak yang soleh yang mendoakannya, kedua harta yang diwakafkan dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain dan ketiga, ilmu yang diajarnya dimanfaat oleh orang lain.”

Sabda nabi Muhammad s.a.w.:’Belum sempat tegak berdiri di Padang Mahsyar, sudah disoal mudanya ke mana dihabiskan, ilmunya ke mana dipergunakan, hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan, hidupnya ke mana dihabiskan.”

Kelapan; ilmu tidak boleh habis walaupun tidak ditambah sedangkan harta pasti akan habis.

Kesembilan; ilmu membentuk pemikiran seseorang menjadi cerah dan hatinya terang benderang manakala harta lebih banyak membuat fikiran pemiliknya kacau bilau dan hatinya menjadi kesat. Ilmu membuka fikiran, dapat menilai dan menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

Kesepuluh; ilmu yang mendatangkan manfaat merupakan pahala sedangkan harta lebih banyak menimbulkan saling sengketa, azab dan siksa.

Kita membuat sesuatu memenuhi keperluan manusia sudah menjadi fardhu kifayah. Harta mengundang persengketaan dunia hari ini, penjajahan ekonomi dunia dan sebagainya.

Jadi, itu kepentingan ilmu sebagaimana jawapan Sayyidina Ali kepada sepuluh soalan yang sama dengan sepuluh jawapan berbeza.
--------------------------------------------------------------------------------------

Mutiara QadRini

Sebagai renungan "Bila kita kejar dunia, dunia akan lari. Tapi bila kita kejar akhirat dunia akan ikut"

Tidak salah membina harta tetapi biarlah harta tersebut mendapat keberkatan dariNya. Oleh itu, "Binalah harta dengan ilmu akhirat dengan niat kerana Allah S.W.T"

No comments:

Post a Comment